Kerajaan memperuntukkan RM124.70 Juta Untuk Perindustrian dan Keusahawanan
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedia membantu usahawan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah. Dengan itu, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM124.70 juta untuk membangunkan sektor perindustrian dan keusahawanan di Sabah bagi tahun 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata usaha Kerajaan adalah untuk meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat di Sabah, termasuk di Kadamaian, khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian. Beliau berkata demikian pada 30 Disember 2024 ketika merasmikan Program Santuni Madani KUSKOP bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud.
Beliau berharap Pelan Pembangunan Kadamaian yang dilancarkan pada tahun 2020 itu akan terus menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk terus membawa pembangunan di Kadamaian. Di samping itu, semasa sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, Hajiji mengajak semua rakyat Sabah untuk bersama-sama terus mengeratkan perpaduan, keharmonian dan saling menghormati.