Pelancaran SIBEC 2024
Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 telah dilancarkan pada 6 Mac 2024 dengan pelancaran portal rasmi dan pertukaran surat niat antara Kerajaan Negeri dan organisasi sokongan di Menara Kinabalu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang melihat ekonomi biru sebagai inisiatif baru untuk meneroka potensi laut dalam pembangunan ekonomi Sabah. Dalam lawatan pelaburan pertamanya ke Shenzhen, China pada November 2023, Ketua Menteri telah mengundang pelabur untuk menyokong ekonomi biru Sabah melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri.
Beliau menitikberatkan empat komponen utama ekonomi biru; penuaian sumber hidup, pengekstrakan sumber bukan hidup, penjanaan sumber baharu, dan tindakbalas terhadap cabaran kesihatan lautan. Terdapat 14 industri di bawah komponen-komponen ini antaranya adalah akuakultur, perikanan, farmaseutikal, kimia, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, perkapalan, karbon biru dan perlindungan dan pemulihan habitat.
Ketua Menteri juga menyampaikan surat niat kepada beberapa organisasi sokongan dan rakan strategik, termasuk Lembaga Pelabuhan Sabah, Invest Sabah Sdn Bhd, dan PETRONAS, untuk menyokong SIBEC 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 2 September 2024.
Persidangan ini adalah kelanjutan daripada SMJ EKOB 2023 yang bertemakan "Beyond Limits, Unleashing Economy", yang telah diadakan pada 14 Disember 2023 dengan penekanan pada konsep ekonomi biru sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan SIBEC 2024.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.blueeconomy.sabah.gov.my.