Program WeHelp Bantu Pembangunan Modal Insan

berita-sabahMarch 2024news

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyatakan bahawa Program WeHelp Jabatan Pendidikan Negeri Sabah adalah satu inisiatif penting dalam memajukan agenda pembangunan modal insan di Sabah. Beliau yakin bahawa melalui program ini, bantuan yang disalurkan akan memberikan impak positif kepada penerima.

Beliau menekankan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam menyokong usaha Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam membentuk individu yang berilmu, berpendidikan, dan berkemahiran. Ini sejajar dengan teras kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang fokus dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat

Program WeHelp memastikan setiap pelajar di Sabah dibantu mengikut keperluan masing-masing. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai bantuan pendidikan, seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).

Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan tiada golongan miskin atau B40 terpinggir daripada peluang pendidikan dan juga memastikan lebih ramai anak-anak Sabah berkelayakan mendapat peluang pendidikan tinggi.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua penyumbang bantuan kepada pelajar di Sabah seperti Pusat Zakat Sabah, Permodalan Malaysia Berhad (PNB), dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

(Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya).