Perasmian Masjid Al-Falah Dan Pembangunan Syiar Islam Di Sabah

April 2024berita-sabahnews

Sejumlah RM131 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan syiar Islam dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, serta program-program kerohanian di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk terus menyokong program-program berkaitan pembangunan dakwah, dengan tujuan meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau menekankan pentingnya sokongan dan kerjasama padu dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), serta agensi-agensi agama Islam yang lain.

Selain itu, Hajiji juga menegaskan JHEAINS untuk mengambil tindakan proaktif dalam memantau keperluan masjid dan surau di Sabah, termasuk kebajikan para imam dan bilal. Beliau berjanji bahawa kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan ini.

Dengan itu, peranan masjid perlu diperkasakan seiring dengan modenisasi yang berlaku dan menjadikan masjid sebagai pusat keilmuan dan kegiatan keIslaman, serta memperluas fungsi dan peranannya dalam masyarakat setempat. Menurutnya, masjid juga perlu menjadi pusat kegiatan ekonomi, pendidikan, dan sosial dalam komuniti.

Penghargaan juga diberikan kepada mantan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, atas peranan beliau dalam pembinaan Masjid Al-Falah Kepayan sebagai hadiah kepada komuniti Muslim di kawasan tersebut.