Pelaksanaan Hidrogen Hijau Melalui Tenaga Haba Lautan
Dewan Undangan Negeri Sabah telah meluluskan dua enakmen pada 25 April 2024:
- Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan (Ocean Thermal Energy Conversion atau OTEC) 2024 yang baru, dan
- Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan No. 2) 2024. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyatakan untuk fokus dalam pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga baru dan menjadi inisiatif utama dalam Ekonomi Biru.
Enakmen ini membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk mengawal aktiviti penerokaan, pembinaan, dan operasi fasiliti OTEC. Teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang panas dan air laut dalam yang sejuk untuk menghasilkan tenaga elektrik secara mesra alam. Sabah, dengan sumber laut yang luas dan sesuai, dipandang sebagai wilayah utama untuk meneroka OTEC.
Berdasarkan kajian, ia menunjukkan potensi dalam penghasilan 20,000MW kuasa elektrik yang digunakan untuk menghasilkan hidrogen hijau dan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar. Industri ini dijangka mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing ke Sabah. Produk sekunder seperti produk marikultur dan air minuman juga dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar tempatan. Sabah juga diharapkan menjadi perintis pembangunan OTEC di rantau ASEAN, menarik golongan profesional terlatih dan menggalakkan inovasi untuk memacu pembangunan.
Datuk Ir. Abdul Nasser Bin Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, menyatakan pembangunan OTEC selaras dengan pelan induk tenaga iaitu Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dan juga mengenalpasti sumber tenaga dan teknologi baru bagi keperluan jangkamasa panjang. ECoS menyokong penerokaan dan kajian kebolehlaksanaan demi memperoleh pembangunan terbaik bagi negeri Sabah.