Sabah Menerima dan Menyokong Pindaan Ordinan Buruh Sabah

berita-sabahMay 2024news

Pindaan Ordinan Buruh Sabah (OBS) telah mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri agar rakayat dapat menikmati faedah ekonomi dan peluang industri di Sabah. OBS telah berkuatkuasa sejak 1950, dan selepas 40 tahun, pindaan pertama dilakukan pada tahun 2005.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tempoh 19 tahun itu sudah lama, dan undang-undang tersebut perlu dikaji semula untuk diperbaharui, terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan pekerja dan keperluan majikan dalam menjalankan perniagaan

Antara perkara penting pindaan kepada OBS:

  • liputan diperluaskan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan;
  • tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari;
  • para bapa juga diberi cuti paterniti selama 7 hari dan ianya layak kepada semua isteri yang sah tetapi untuk lima anak pertama sahaja; dan
  • waktu kerja minggu dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.

"Sudah pasti undang-undang yang lebih terkini dan tidak ketinggalan, akan dapat menarik lebih banyak syarikat-syarikat luar untuk datang melabur dengan lebih yakin dan selesa ke negeri Sabah. Pindaan ini juga adalah tepat pada masanya kerana Kerajaan Negeri amat memerlukan satu perundangan perburuhan yang relevan dan sesuai dengan situasi perburuhan semasa", kata Ketua Menteri di majlis sambutan “Tripartite Hari Pekerja Peringkat Negeri Sabah 2024” di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Menurut beliau, pindaan tersebut perlu mengambil kira revolusi perindustrian terkini yang melibatkan teknologi automasi seperti "Internet of Things", "Big Data", "Artificial Intelligence" dan "Cloud Computing". Transformasi digital ini membawa kepada jenis pekerjaan baru seperti Pekerja Gig, yang memerlukan perundangan yang dapat menyesuaikan industri dengan perubahan tersebut.

Beliau yakin bahawa pindaan OBS akan memberi faedah secara menyeluruh, adil, dan saksama kepada pekerja dan majikan di Sabah, setaraf dengan perundangan di Semenanjung Malaysia.

Pindaan kini melibatkan 12 pindaan utama kepada 62 fasal OBS, yang melibatkan 75 peratus keseluruhan ordinan, dan beliau yakin bahawa pindaan OBS akan meningkatkan imej negeri Sabah di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam isu-isu seperti hak asasi manusia, hak buruh, penghapusan diskriminasi, serta membanteras buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Selain itu, pindaan ini akan memudahkan Malaysia, khususnya Sabah, untuk menembusi pasaran yang lebih besar melalui perjanjian "Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership" (CPTPP) melibatkan 11 negara ahli, dan secara tidak langsung akan menarik lebih banyak pelabur datang, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Sabah.