Pembayaran Tanpa Tunai (Cashless Payment) Digalakkan

berita-sabahJune 2024news

Kerajaan Sabah telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai bagi mempermudahkan terimaan hasil negeri seperti pembayaran lesen, permit, dan kemudahan awam, menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Antara inisiatif tersebut termasuklah Aplikasi Sabah Pay oleh Perbadanan Pinjaman Sabah dan YONO (You Only Need One). Penggunaan Sabah Pay telah mengumpul RM46 juta sehingga 31 Oktober 2023. Pada 1 Disember 2022, Kementerian Kewangan Negeri mengeluarkan surat pekeliling sebagai panduan untuk agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government), dengan menerima mod pembayaran seperti kad kredit, debit, caj, eDompet, dan perbankan internet.

Beliau menyatakan bahawa usaha ini adalah demi kesejahteraan rakyat. Transaksi tanpa tunai menawarkan pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat, serta dapat menyelesaikan isu seperti kekurangan mesin ATM di luar bandar. Kerajaan negeri dan Persekutuan juga memastikan prasarana komunikasi tersedia dengan membina 398 menara telekomunikasi melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Tambahan itu, inisiatif Agrobank iaitu Program Cashless di Kundasang, Ranau, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk meningkatkan pembayaran digital bagi mencapai objektif wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk tempatan Ranau mengenai penggunaan pembayaran online dan QR. Ketua Menteri juga berharap inisiatif ini akan terus diperluaskan ke kawasan lain di Sabah.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Tmbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.