Kumpulan Sawit Kinabalu Menjadi Perinits Taman Teknologi Hijau

berita-sabahJune 2024news
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi oleh Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu menandatangani plak bagi merasmikan ibu pejabat baharu Sawit Kinabalu di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu; seterusnya menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Encik Victor Ationg (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Nextgreen Global Berhad, Dato’ Lim Thiam Huat bagi penubuhan Taman Teknologi Hijau. Kemudian beliau bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif dan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu menyaksikan pembayaran zakat perniagaan syarikat itu sebanyak RM 800,000.00 kepada Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Haji Mohd Dandan @ Ame bin Haji Alidin.

Kumpulan Sawit Kinabalu (Sawit Kinabalu) akan menjadi perintis Taman Teknologi Hijau (Green Technology Park atau GTP), dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai matlamat pembangunan di Sabah. Sawit Kinabalu melalui anak syarikatnya, Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) bagi penubuhan GTP.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu, menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut pada 6 Jun 2024 di ibu pejabat Sawit Kinabalu, Menara Kinabalu.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan menerokai dan melaksanakan aktiviti utama GTP seperti mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan (CPC), Kilang Pulpa, Loji Rawatan Air Mentah, dan Dandang Stim (Steam Boiler) di tanah seluas 400 ekar milik SPOIC di Sandakan. Konsep perniagaan hijau GTP menekankan tenaga boleh diperbaharui, pemulihan, dan penghapusan sisa, yang merupakan asas ekonomi hijau dan dapat mengurangkan risiko alam sekitar, serta memacu Sawit Kinabalu ke arah pembangunan mampan.

Ketua Menteri merasmikan ibu pejabat baharu Sawit Kinabalu dan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut. Beliau juga menyaksikan pembayaran zakat perniagaan Sawit Kinabalu bagi tahun 2023 berjumlah RM800,000.00 daripada Victor kepada Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Haji Mohd Dandan @ Ame bin Haji Alidin. Pembayaran zakat perniagaan akan diteruskan untuk meningkatkan eknomoi dan pemerkasaan Masyarakat, selaras dengan prestasi harga minyak sawit mentah (CPO) yang dijangka meningkat di masa hadapan.