Hari Sabah di Isytiharkan pada 31 Ogos

August 2024berita-sabahnews
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di Kota Kinabalu.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 dan Hari Sabah 2024 akan dirayakan serentak pada 31 Ogos 2024. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Hari Sabah akan menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum untuk bersama membangunkan Sabah. Hari Sabah memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963, kata Hajiji pada 1hb Ogos 2024 di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri 2024 di Kota Kinabalu.

Katanya, usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat dan negeri ini, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya terus menjadi keutamaan, antaranya keterjaminan makanan, meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara serta pelancongan, menoktahkan miskin tegar, peningkatan infrastruktur, pendidikan, peningkatan penyampaian perkhidmatan dan keselamatan.

Kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang, agar berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara dari terus diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hajiji yakin rakyat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian.

Pelbagai program dirancang sepanjang bulan kebangsaan Ogos 2024, antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti Peringkat Parlimen dan DUN.