Sabah Melancar Festival Soul to Soul
Festival Soul to Soul perlu diperluaskan ke daerah lain di negeri ini agar lebih ramai rakyat dapat menyertainya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Penganjuran program berbentuk kerohanian dan keagamaan seperti Festival Soul to Soul akan diperluaskan ke daerah lain, katanya pada 3 Ogos 2024 ketika merasmikan Pembukaan Festival Soul To Soul 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Penganjuran festival yang antara objektifnya adalah membimbing masyarakat mengenal dan mencintai Allah dan Rasul melalui aktiviti yang dijalankan serta meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan utama, amat penting dalam keadaan dunia yang semakin memcabar ini.
“Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pembentuk masyarakat yang bakal dibina, yang mana rakyatnya kukuh dalam nilai agama dan mempunyai tahap etika yang tinggi,” katanya. “Program seperti Festival Soul to Soul ini, saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada program pembangunan modal insan, kerana ia juga terarah kepada mendidik dan membentuk jiwa masyarakat, agar menjadi anggota masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan.”
Festival anjuran Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah bertemakan Festival Ilmiah Untuk Seisi Keluarga, melibatkan pengisian dalam mempromosikan cara hidup Islam yang sebenar dan pentingnya meningkatkan ekonomi Islam berpandukan Kitab Suci al-Quran dan Hadith SAW.