Peruntukan RM1.5 Juta Kepada Persatuan Wanita Di Sabah
Kerajaan Sabah telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan wanita di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, peruntukan itu juga merupakan tanda sokongan kerajaan yang amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya. Oleh itu, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di Sabah, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh Sabah. Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara. “Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya pada 24 Ogos 2024 di Majlis Sambutan Hari Hari Wanita peringkat negeri Sabah, Kota Kinabalu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.Selain itu, peruntukan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), diluluskan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita. Dengan itu beliau ingin MPWS bertindak sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan idea Baharu serta meningkatkan penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.
“Di samping itu, JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan dalam menangani hal ehwal wanita, diharapkan untuk terus melaksanakan program pembangunan wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya.
Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan pencapaian golongan lelaki dan ini jelas membuktikan bahawa wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi Masyarakat Madani.
Dalam konteks negeri Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan. Setakat ini, kita mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi termasuk dalam Kabinet negeri. “Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya.