Hari Sabah: Bukti Semangat Kebangsaan, Rakyat Tidak Iktiraf Tuntutan Luar
Sambutan Hari Sabah adalah bukti semangat kebangsaan rakyat Sabah untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekali gus tidak mengiktiraf sebarang tuntutan luar ke atas Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk bersama-sama membentuk negara Malaysia.
“Hari Sabah yang diraikan bersama-sama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah hari yang sangat bersejarah. Ia adalah bukti semangat patriotisme orang Sabah mendapat kebebasan daripada penjajah kerana Sabah adalah sebahagian daripada Negara Malaysia. Masa depan Sabah terletak di tangan kita, oleh itu marilah kita bersama-sama terutama generasi muda untuk memberi tenaga dan berganding bahu untuk memastikan negeri ini terus maju dan makmur.”
“Kerajaan akan terus membantu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya pada 31 Ogos 2024, sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63, atau perkaraperkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” katanya.
Dengan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus mendorong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan Malaysia MADANI dalam mencapai negara yang pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat global sekali gus menjadi negara yang dihormati dan disegani. Di samping itu, hasil corak kepimpinan negeri yang mesra pelabur, ia menjadikan Sabah tumpuan pelabur asing dan domestik yang turut memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion dalam pelbagai sektor pada tahun 2023 dan telah merekodkan hasil kutipan negeri hampir RM7 bilion pada tahun yang sama. “Kini, kerajaan Sabah dalam proses meneroka potensi Ekonomi Biru yang melibatkan penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu. Penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi meningkatkan ekonomi tambahan kepada sumber sedia ada,” katanya. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin telah menyempurnakan majlis pemasyhuran Sambutan Hari Sabah 2024. Pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos telah diwartakan Kerajaan Sabah pada bulan Jun 2024.