Hajiji: GRS-PH Plus yakin kembali memerintah selepas PRN17

berita-sabahnewsSept 2024
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama para pemimpin dan perwakilan parti itu

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus kini mampu kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berdasarkan perkembangan semasa politik dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada. Katanya, gabungan berkenaan memiliki kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih baik.

“Saya tahu kekuatan parti kita, InsyaAllah, kita akan bersama dengan PH Plus, kita tetap akan menjadi kerajaan selepas PRN nanti. “InsyaAllah, rakyat mahukan perubahan dan mahukan GRS-PH Plus ini terus memerintah negeri,” katanya pada 1 September 2024 di Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan Tahun 2024 di Dewan Datuk Japlin Akim, Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan bagi menghadapi PRN akan datang, khususnya rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan. Katanya, itu antara syarat penting bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat dikekalkan selepas PRN17 nanti. “Yang penting kepada kita terutama sekali di Usukan, kalau ada semangat kita mahu bertanding di Usukan, parti Gagasan Rakyat mesti kuat dan mantap.

Dengan itu, Ketua Menteri mengulangi pendirian kerajaan negeri pimpinannya mengenai kepentingan mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam tempoh saya ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan, baru setahun lebih. “Sekarang hanya tinggal beberapa isu saja lagi. Kita tidak pernah undur meminta kerajaan Persekutuan melaksanakan dan menunaikan apa yang termaktub dalam MA63,” katanya.