Kerajaan Tekad Lahirkan Belia Berilmu, Berkemahiran, dan Berkepemimpinan

berita-sabahnewsSept 2024

Kerajaan Sabah tekad membantu kepada pembangunan belia untuk melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Katanya, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada peningkatan ekonomi negeri.

Menurutnya, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting khususnya peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi. "Oleh itu, sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah. "Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah", katanya. Beliau berkata demikian pada 7 September 2024 di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kpya Kinabalu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Beliau berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan. "Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan.

Justeru, YMM memainkan peranan penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di Sabah", tegasnya. Beliau berharap YMM Sabah akan membuka lebih ruang untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia daripada berbilang kaum menyertai pertubuhan ini, termasuklah golongan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar menerusi program jangkauan luar (outreach).

Katanya, ini untuk memastikan belia-belia di kawasan pinggir bandar dan luar bandar juga berpeluang menyertai pelbagai latihan, program pendidikan, kaunseling dan pendidikan sosial bagi meningkatkan potensi mereka. YMM Sabah adalah pertubuhan belia bertaraf “Lima Bintang” yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan telah berjaya memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan dan memperkasakan golongan belia di Sabah.

Dengan itu, ramai golongan muda telah dibimbing dan diasah bakat menerusi pelbagai program latihan yang dianjurkan bagi melahirkan golongan belia yang berfikiran lebih kritis, bertindak lebih matang dari segi politik, ekonomi, budaya dan pendidikan.

“Saya berharap YMM terus berusaha gigih untuk menyemai nilai-nilai murni di kalangan belia supaya menjadi individu yang berdedikasi, rasional dan ikhlas serta sentiasa menyertai kegiatan-kegiatan belia, seterusnya menyumbangkan tenaga dalam arus pembangunan negara. “Ini adalah selari dengan dasar kerajaan memperkukuhkan modal insan yang berkualiti. Ini bagi memastikan YMM kekal relevan dalam memperkasakan golomham belia di negeri ini”, katanya.