Kepelbagaian Budaya Harus Diraikan Bersama

berita-sabahnewsSept 2024
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diiringi Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh (lima kiri) selepas menyempurnakan gimik perasmian sempena Pesta Tanglung Tuaran 2024.

Kepelbagaian budaya di Sabah haruslah diraikan oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Dengan ini, kepelbagaian dalam aspek budaya seperti sambutan Pesta Tanglung antara yang telah menjadikan rakyat di negeri ini hidup bersatu padu dan aman.

“Inilah merupakan keunikan dan kehebatan Sabah yang menjadi contoh kepada negeri lain. Kita mempunyai pelbagai perayaan yang kita raikan bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama. “Saya berasa bangga kerana Lions Club Tuaran telah menganjurkan pesta yang cukup hebat dan berharap perayaan yang diwarisi sejak nenek moyang ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya pada 7 September 2024 ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung Tuaran di Padang Astaka Tuaran.

Dalam masa itu, beliau turut berharap rakyat akan terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus untuk terus membangunkan negeri ini. Katanya, kerajaan negeri hari ini akan terus fokus dalam pembangunan kerana ini adalah tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.

“Justeru, saya berharap rakyat negeri ini tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan fitnah yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana, banyak yang telah dilakukan selepas pandemik COVID-19. “Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri ini. Bukan itu saja, malah dalam aspek lain termasuk pendidikan dan modal insan yang menjadi antara fokus utama kerajaan negeri. “Kita tahu memang ada masalah yang dihadapi termasuk yang diwarisi daripada penerintahan terdahulu seperti isu air. Tetapi kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan. Apa yang penting sokongan daripada rakyat agar Sabah terus maju jaya dalam Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah dan akan terus melaksanakan lebih banyak pembangunan dan projek yang menberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat Sabah.