Umat Islam di Sabah Diingatkan Tidak Terperangkap Dalam Zon Selesa

berita-sabahnewsSept 2024
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin diiringi dif-dif kenamaan dan umat Islam berarak ke Sabah International Convention Centre (SICC) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul.

Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa. Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan”, katanya pada 16 September 2024 di Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Dengan itu, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul SAW sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah, membantu mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya.

“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan penuh istiqamah dan keikhlasan”, tambahnya.

Hajiji dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni diiringi difdif kenamaan bersama lebih 7000 umat Islam berarak ke SICC.