Sabah Fokus Dalam Pembangunan Pendidikan

berita-sabahnewsOct 2024
Ketua Menteri - yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) - mesra bersama siswa siswi baharu UMS.

Kerajaan negeri fokus dalam pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya untuk melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal insan di Sabah sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin di masa hadapan.

Beliau berkata, hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. "Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di Sabah.

Dengan itu, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi", katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor universiti itu pada 1 Oktober 2024.

Sejak tahun 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan:

  • YS melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.
  • Bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600.00 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Malaya, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac 2024 dengan peruntukan lebih RM10 juta.

Selain itu, pada tahun 2023 kerajaan telah menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta. Dengan pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS)-inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam menyalurkan bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan di Sabah dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS ingin universiti itu terus mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan negeri Sabah.

Pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi", katanya. Hajiji ingin siswa siswi UMS sentiasa mematuhi segala peraturan kampus, mendahulukan tanggungjawab sebagai pelajar serta berusaha dengan gigih untuk menjadi insan cemerlang untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.