Agenda pembangunan Hala Tuju SMJ Menunjukkan Hasil Positif
Agenda pembangunan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan menunjukkan hasil positif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Dalam tempoh 4 tahun menerajui negeri, kerajaan dengan penuh keyakinan terus mara ke hadapan melaksanakan hala tuju negeri dengan mefokuskan kepada beberapa sektor penting khususnya pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Beliau berkata, ketiga-tiga sektor ini telah meningkatkan ekonomi negeri sehingga menarik pelabur ke Sabah, serta memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Selain itu, ia juga memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan memperkasa kesejahteraan rakyat. “Dengan sokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat dilaksana, sesuai dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan negeri Sabah”, katanya pada 5 Oktober 2024 dalam ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke71 Tahun di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hajiji berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai 2024, Sabah menyumbang 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023. Menurutnya, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, merupakan ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperolehi daripada sektor pembuatan pada tahun 2023.
Tambahan itu, kehadiran pelancong ke Sabah juga meningkat iaitu seramai 1.7 juta pelancong setakat Januari hingga Julai 2024, dengan pelancong tempatan lebih 1.05 juta dan antarabangsa seramai 706,383 orang. Dengan sasaran seramai 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun 2024”, katanya.
Kerajaan negeri akan terus berusahan untuk meningkatkan lagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif yang meliputi pelbagai sektor. Dengan itu, Kerajaan negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy) iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk industri yang boleh dihasilkan daripadanya. “Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, yang berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru. Ke arah merealisasikan usaha ini, kerajaan akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkaitan ‘The Blue Economy’, pada Oktober 2024. Hajiji percaya rakyat bijak menilai fakta pencapaian kerajaan hari ini yang bertanggungjawab bukan saja memikirkan, merancang malah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat.