7,448 Penempatan Pekerjaan di Sabah

berita-sabahnewsOct 2024
Datuk Seri Panglima Haji Hajiji melawat pameran di Karnival Kerjaya Mega Madani MYFutureJobs, di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Sabah berjaya mencatat sebanyak 7,448 penempatan pekerjaan setakat 27 September 2024, melalui usaha Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pelbagai agensi untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata beberapa lagi cabaran yang perlu diatasi iatu meningkatkan kualiti latihan dan memastikan kemahiran yang diberikan selaras dengan keperluan industri.

“Saya menggesa kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memperluas peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak latihan yang relevan kepada rakyat Sabah”, katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Mega Madani Myfuturejobs PERKESO Negeri Sabah Tahun 2024 pada 12 Oktober 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Dengan itu, kerjasama agensi kerajaan dan swasta adalah penting untuk samasama menggembleng tenaga dalam mengurangkan pengangguran dan memastikan setiap individu mendapat peluang pekerjaan yang setara, setimpal dengan kemahiran serta bakat mereka. Ini adalah untuk memperkukuh ekonomi negara, meningkatkan taraf hidup rakyat, mengurangkan kemiskinan dan memastikan kesejahteraan sosial terjamin. Menurutnya, Sabah Jobs Portal (SJP) dibawah kendalian Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Portal MYFutureJobs (MFJ) yang diperkenalkan oleh PERKESO akan digabungkan bagi memastikan ia mampu menyediakan perkhidmatan pencarian pekerjaan yang lebih efisien kepada rakyat Sabah.

“Saya berharap sistem MYFutureJobs dan Sabah Job Portal ini dapat direalisasikan secepat mungkin demi kebaikan rakyat Sabah. Integrasi ini akan memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat terkini dan membantu majikan mencari bakat yang sesuai.

Hajiji berkata, kerajaan negeri kini berada di landasan tepat menerusi pelan Human Capital Development Blue Print for Sabah (2021-2035) untuk memastikan ilmu kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan disamping menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di Sabah. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program kebolehpasaran dan latihan kemahiran termasuk TVET yang relevan dengan keperluan industri semasa serta menambah baik kemudahan dan alat bantuan latihan di institut latihan di bawah agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Hajiji juga ingin Karnival Kerjaya anjuran PERKESO diperluaskan ke bandar-bandar lain dan pekan-pekan kecil kerana ia memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini. “Penganjuran karnival sebegini juga mampu mewujudkan satu ekosistem pasaran buruh yang efisien dan memberi peluang terbaik kepada anak-anak pencari kerja di Sabah”, tegasnya.