Komitmen Sabah Untuk Capai 30 Peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya

berita-sabahnewsOct 2024
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika melancarkan Pelan Tindakan Bakau Sabah (Sabah Mangrove Action Plan) 2024-2033 sempena Majlis Perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia ke-20 dan Sambutan Ulang Tahun ke-110 Jabatan Perhutanan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC).

Sasaran Sabah untuk memperluas Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Total Protected Areas, TPA) kepada 30 peratus daripada keluasan tanah Sabah kira-kira 2.2 juta hektar, menjelang tahun 2025, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Kini, Jabatan Perhutanan Sabah sedang mengenal pasti kawasan seluas lebih kurang 220,000 hektar lagi untuk diwartakan sebagai kawasan TPA.

“Jabatan Perhutanan Sabah telah mencapai pelbagai kejayaan sejak penubuhannya 110 tahun lalu termasuk peningkatan TPA di Sabah yang telah meningkat kepada 2.0 juta hektar, atau 27.3 peratus daripada keseluruan keluasan tanah Sabah, pada masa ini. “Selain itu, peringkat terakhir adalah melaksanakan pindaan kepada Enakmen Hutan 1968. Pindaan ini penting untuk memodenkan kerangka tadbir urus hutan Sabah dan perundangan berkaitan perhutanan, untuk memastikan ia selaras dengan realiti semasa.

“Legasi Jabatan Perhutanan Sabah sepanjang 110 tahun yang lalu memberikan asas yang kukuh untuk perubahan yang diperlukan ini, dan mencerminkan komitmen Sabah untuk menyesuaikan diri kepada cabaran dunia moden,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-20 Harmonizing Forestry Towards Sustainability ’ dan sambutan Ulang Tahun Ke-110 Jabatan Perhutanan Sabah pada 29 Oktober 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Antara pencapaian penting itu ialah sedang memuktamadkan Pelan Induk Hutan Negeri Sabah, berjaya melancarkan Pelan Tindakan Strategik Sabah Ke-2 dan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan selama 15 tahun dari 2022 sehingga 2036. Hari ini, satu lagi kejayaan Jabatan Perhutanan Sabah iaitu pelancaran Pelan Tindakan Bakau Sabah (SMAP), yang dihasilkan dengan usaha bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Sabah. Objektif utama SMAP ini adalah untuk menyediakan garis panduan dan arah transformasi untuk perancangan dan pengurusan hutan bakau di Sabah.

“Namun semua kejayaan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita leka kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi terutamanya ancaman terhadap ekosistem hutan seperti isu perubahan iklim dan perubahan guna tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan,” katanya. Sementara itu, katanya Jabatan Perhutanan Sabah juga telah dilantik sebagai Sekretariat untuk Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) bagi memacu agenda perubahan iklim negeri.

“Majlis Tindakan ini adalah untuk menyelaras usaha untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, mengintegrasikan perhutanan ke dalam strategi iklim yang lebih luas. Contohnya, jualan kredit karbon daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut ataupun lebih dikenali sebagai Kuamut Rainforest Conservation Project (KRCP) di Sabah menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX) merupakan penjualan kredit karbon pertama Malaysia di bawah BCX. “Setakat ini, Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut telah berjaya menjana lebih kurang 4.2 juta Unit Karbon Disahkan ataupun Verified Carbon Units (VCUs),” katanya.

Dengan itu, beliau berharap agar semua peserta dapat berbincang berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing bagi memastikan sektor perhutanan kekal memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar.

Tema persidangan pada tahun 2024 iaitu “Harmonizing Forestry Towards Sustainability” yang selaras dengan matlamat kelestarian global, terutamanya Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Sustainable Development Goals-SDGs), yang menekankan tanggungjawab holistik untuk mengurus dan melindungi sumber hutan untuk generals akan dating.