Tamu Besar Kota Belud Tarikan Pelancong
Tamu Besar Kota Belud menarik kehadiran pelancong dan menghargai keunikan keelbagaian budaya tempatan yang ada di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata kerajaan negeri akan terus menyokong dan membangunkan potensi setiap daerah di Sabah termasuk memajukan sosioekonomi, pelancongan dan kebudayaan masyarakatnya yang unik.
“Sudah pasti penganjuran tamu besar secara tahunan ini berperanan besar dalam menarik pelancong selain mempromosikan keindahan budaya tempatan. “Tamu besar ini juga menjadi lambang perpaduan kerana tamu adalah medan pertemuan sosial rakyat berbilang kaum dan agama seperti masyarakat Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina, yang terus kekal sehingga kini. “Saya berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya pada 2 November 2024, sempena Tamu Besar Kota Belud 2024 di Padang Pekan Kota Belud. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hadir dan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.
Pelbagai aktiviti yang diadakan semasa Tamu Besar Kota Belud tahun ini, seperti persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pameran dan jualan produk kraf, komuniti, serta tradisional. Dengan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif. Langkah ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti Sabah sebagai destinasi yang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah dari Januari hingga Ogos 2024 adalah 2.1 juta orang dengan pelancong antarabangsa seramai 867,231 manakala 1.2 juta adalah pelancong domestik. Data ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan beliau yakin dengan perancangan strategik, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang ketara.
“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya, dan alam semula jadi dengan lebih daripada 30 lokasi pelancongan yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Tamu Kota Belud merupakan salah satu tamu tertua di Sabah yang telah menjangkau lebih daripada 100 tahun usianya. “Tamu Kota Belud bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga tempat pembuatan dan penjualan pelbagai produk tempatan seperti hasil pertanian, makanan tradisi, kraftangan, parang, peralatan muzik, serta busana tradisi. Di sini, para pengunjung dapat membeli barangan berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya.