Subsidi RM300 Untuk pelajar Sabah di IPT Dalam Negeri

berita-sabahnewsNov 2024
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan GRS bergambar dengan sebahagian pelajar sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS; dan Hajiji menerima Resolusi daripada Pengerusi Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.

Kerajaan Sabah akan memberikan subsidi one-off RM300 kepada pelajar yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata bantuan secara one-off itu diberikan kepada pelajar-pelajar yang menuntut di dalam negeri untuk balik ke kampung masing-masing ketika musim perayaan. “Sebagai contoh, pelajar dari Tawau atau Sandakan tetapi belajar di Kota Kinabalu dan sebaliknya, akan dibantu dalam one-off subsidi ini yang boleh digunakan untuk membeli tiket kapal atau bas.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan saya adalah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat. Sebab itu kita sentiasa mendengar apa yang diminta oleh rakyat termasuk golongan pelajar kita. “Pelbagai inisiatif dan bantuan yang diberikan kepada rakyat khususnya pelajar adalah untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini pada masa akan datang,” katanya pada 3 November 2024, ketika merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS di Raia Hotel, Kota Kinabalu.

Bantuan subsidi itu termasuk jumlah penerima bantuan kini sedang dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan. Pada bulan Ramadan 2023, bantuan subsidi one-off RM600 juga telah diberikan kepada pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Malaya, Sarawak dan Labuan. “Sebelum ini saya telah umumkan pelaksanaan subsidi kapal terbang yang kita namakan Graduan Rindu Sabah. Melalui inisiatif ini, pelajar Sabah yang belajar di Malaya, Sarawak dan Labuan memperolehi bantuan one off sebanyak RM600 seorang. Bantuan ini digunakan oleh pelajar untuk balik ke kampung sempena perayaan atau cuti semester,” katanya.

Tambahan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mahu Sayap Pelajar GRS terus membantu golongan pelajar di Sabah, bagi memastikan golongan itu memberikan sokongan kepada GRS. Beliau berkata golongan muda adalah menjadi penentu kepada kejayaan GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17. “Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terkini, sejumlah hampir 950,000 pengundi muda (18 hingga 40 tahun) bakal mengundi dalam PRN-17, pada tahun hadapan.

“Justeru, saya menyarankan kepada Sayap Pelajar GRS untuk terus menyantuni golongan pelajar. Ini penting bagi memastikan golongan itu memberikan sokongan kepada GRS. GRS merupakan parti yang meletakkan kepentingan orang muda di kedudukan yang istimewa. “Apa yang penting sayap ini membantu menyakinkan rakyat khususnya pelajar di IPT mengenai dasar dan inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan GRS selain pentingnya kestabilan politik demi untuk masa depan rakyat dan Sabah,” katanya.