Semangat Kekeluargaan Bentukkan Masyarakat Harmoni dan Sejahtera

berita-sabahnewsNov 2024

Inisiatif “November Bulan Keluarga Kebangsaan” oleh Kerajaan Sabah menanam semangat kekeluargaan melalui konsep Kasih MADANI melahirkan masyarakat yang stabil, harmoni dan sejahtera. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi menyemarakkan sambutan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 3 November 2023 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperluaskan sambutan itu diperingkat semua kementerian dan kerajaan negeri, mulai 2024.

Dengan itu, semua kementerian termasuk semua pihak di Sabah dapat menjayakan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan. “Perlaksanaan aktiviti hari keluarga di setiap kementerian dan agensi kerjaan juga perlu dijadikan acara tahunan wajib pada setiap bulan November. Sektor swasta, NGO dan komuniti amatlah digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga”, katanya pada 23 November 2024 di Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan Program Jerayawara Santuni Komuniti Madani PEKA @ LPPKN kawasan Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan.

Kini, perkembangan pesat teknologi, penggunaan gajet dan media sosial menjadi satu cabaran kepada keluarga sehingga kanak-kanak dan remaja kini terdedah kepada pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan mereka. Berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) lebih 70% kanak-kanak di Malaysia menggunakan internet sejak usia kecil. Oleh itu, ibu bapa untuk lebih bijak dalam mengawal akses anak-anak kepada teknologi itu.

Untuk membanteras isu tersebut, program literasi digital akan diperkenalkan untuk keluarga agar kesedaran keselamatan keluarga harus bermula daripada pendidikan dan latihan yang konsisten dan anak-anak perlu dididik dengan nilai keselamatan, sama ada dalam aspek fizikal, emosi, mahupun siber.

Tambahan itu, berdasarkan statistik daripada Cybersecurity Malaysia, kes jenayah siber yang melibatkan remaja meningkat 15% pada tahun 2023, menunjukkan pentingnya langkah-langkah pro-aktif daripada ibu bapa dan pendidik untuk melindungi generasi muda. “Saya yakin usaha yang dilakukan melalui sambutan ini dan pelbagai program seperti PEKA@LPPKN dapat meningkatkan lagi kesejahteraan institusi keluarga di Sabah”, katanya.

Beliau berkata, program-program pembangunan dan latihan yang memberi fokus kepada kesaksamaan gender kerana peranan wanita sebagai ibu, isteri, dan anggota masyarakat, sangat penting dalam sesebuah keluarga. Beliau berkata, aspek kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan dalam menjaga kesejahteraan keluarga kerana ia memberi implikasi yang besar kepada kestabilan emosi dan sosial keluarga.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Datuk lr. Shahelmey Yahya, Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Kerja Raya Negeri.