Regatta Lepa Disenaraikan Dalam Kalendar Pelancongan Tahun 2025

berita-sabahnewsNov 2024

Pesta Regatta Lepa antara program kebudayaan yang akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah pada tahun 2025 selain Museum Festival 2025 dan Kraf Eksotika, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Ini adalah untuk meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti, iaitu satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini secara lebih inklusif dan saksama.

“Semua usaha ini juga adalah untuk memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati generasi masa ini dan akan datang. Dalam masa sama, dapat merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan. “Justeru, saya ingin mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu-padu dan menyokong setiap usaha kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat di semua peringkat,” katanya pada 24 November 2024 sempena perasmian Sambutan Regatta Lepa Semporna Ke-29 Tahun 2024 di Padang Bandar Semporna.

Khazanah budaya dan adat resam yang diwarisi sejak zaman nenek moyang haruslah dipelihara. “Lepa bukan sekadar sebuah perahu, ia adalah lambang kemahiran, kebijaksanaan dan keunikan seni bina serta kejuruteraan tradisional yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Melalui penganjuran Regatta Lepa ini juga menunjukkan keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset yang penting sebagaitarikan pelancong dan terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat Sabah. “Ini adalah selari dengan Pelan Induk Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020- 2030 yang dilaksanakan merangkumi pembangunan Sistem Pemetaan Budaya, menaiktaraf kemudahan-kemudahan pelancongan, pemeliharaan dan pemuliharaan dokumentasi khazanah warisan dan budaya serta kawasan bersejarah,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu seluruh rakyat Sabah mengekalkan budaya perpaduan dan permuafakatan, demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan generasi yang akan datang. “Ini seiring dengan tema pesta kali ini iaitu “Regatta Lepa; Lambang Perpaduan Masyarakat Madani” yang jelas menunjukkan bahawa sambutan regatta mampu menjadi platform perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Sabah. “Kita perlu terus mempertahankan dan memperkukuhkan semangat perpaduan ini, jangan biarkan sebarang bentuk perpecahan menggangu keharmonian yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, menyampaikan teks ucapan KM.