Sokongan Badan Berkanun dan GLC Negeri Diperlukan

berita-sabahnewsNov 2024
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima pembayaran dividen daripada Innoprise Corporation Sdn.Bhd; dan Penyampaian Dividen dan Sumbangan Oleh Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ingin Badan-badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (Government Linked Companies - GLC) menyokong aspirasi kerajaan untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik dan juga menyumbang kepada hasil kerajaan negeri. Selaras dengan objektif Badan Berkanun dan GLC negeri, beliau ingin mereka memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi bagi membantu mencapai objektif untuk mensejahterakan rakyat Sabah.

“Seiring dengan usaha meningkatkan ekonomi Sabah, saya mahu Badan Berkanun dan GLC Negeri mencetus kreativiti dan daya cipta dalam meneroka peluang-peluang perniagaan, sama ada menceburi perniagaan baharu atau mewujudkan jalinan kerjasama sesama agensi kerajaan negeri lain yang berkaitan, selagi ia tidak bercanggah dengan objektif penubuhan. “Oleh itu, setiap agensi perlu bijak dan berhemah dalam perbelanjaan dan mengutamakan pulangan yang perlu dicapai agar dapat memelihara kebajikan syarikat, mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada sosioekonomi negeri”, katanya pada 26 November 2024 di Majlis Perasmian Penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Sesi 2, Tahun 2024 serta Penyampaian Dividen dan Sumbangan Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.

Beliau mengingatkan semua Badan Berkanun dan GLC Negeri bahawa pelantikan ALP, kenaikan elaun, kemudahan-kemudahan, dan permohonan pemberian (grant) perlu mematuhi peraturan yang berkuatkuasa dan tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada peraturan yang ditetapkan sama ada melalui Akta Syarikat, enakmen atau pekeliling kewangan semasa.

Hajiji menegaskan bahawa jawatan ALP bukanlah satu keistimewaan, tetapi merupakan satu amanah untuk memimpin sesebuah agensi ke arah pencapaian hala tuju. Oleh itu katanya, menjaga kepentingan serta harapan stakeholder, ALP perlu mengutamakan peraturan, tadbir urus korporat dan menjunjung tinggi integriti. Semua ALP dan pengurusan GLC haruslah berusaha, beramanah, berintegriti dan melaksanakan tadbir urus baik dalam syarikat. Kerjasama dan kesefahaman di antara ALP Pengurusan Tertinggi sangat penting dalam merancang strategi terbaik sebagai sebuah agensi.

Kursus anjuran Kementerian Kewangan Negeri itu bersesuaian dengan keperluan ALP yang baharu dilantik dan yang sedia ada, untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mentadbir dan mengurus agensi masing-masing. “Saya yakin melalui kursus ini ALP akan dapat meningkatkan gaya kepimpinan ke arah kecemerlangan dan Pengurusan Tertinggi dapat mengukuhkan komposisi pengurusan yang lebih baik sekali gus mencetuskan ketepatan dan ketelusan dalam memacu hala tuju sesebuah agensi”, tegasnya.