Kerjasama DBKK dan MCMC Memacu Kota Kinabalu Menjadi Bandar Raya Pintar
Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memacu Kota Kinabalu ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, lestari, dan maju sekali gus yang dapat bersaing di peringkat global. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran tetapi juga pusat ekonomi, pelancongan, dan inovasi teknologi yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
Dengan itu, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 3 Disember 2024 adalah langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi. “Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang melalui teknologi yang dapat membantu kehidupan rakyat dan juga tingkatkan ekonomi Sabah.
“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan infrastruktur pintar seperti pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi pentadbiran dan perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap, mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai,” katanya pada 3 Disember 2024 sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Beliau percaya MoU ini adalah permulaan kepada era baharu pembangunan Sabah, dengan Kota Kinabalu akan menjadi contoh kepada bandarbandar lain di Sabah. “Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada bandar raya, tetapi juga kepada seluruh Sabah. Dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan, dan perniagaan.
“Ini akan menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan, dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita,” katanya. Dalam konteks kerajaan negeri katanya, sebanyak RM41.75 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi, pada tahun depan.
Selain itu, peruntukan RM10.5 juta diberi kepada sektor pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri, pada 2025. “Ini termasuklah sistem pengurusan sumber manusia (SM2), peningkatan Portal dan Perkhidmatan Digital Sabah serta inisiatif tambahan lain yang akan menyokong transformasi pendigitalan sektor awam “Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, kerajaan akan terus berusaha untuk pemasangan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet, pada tahun 2025,” katanya.