Tangani Isu Sosial Melalui Aplikasi dan Buku ReTrack
Pelancaran Aplikasi dan Buku ReTrack, dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 3hb Disember 2024 sebagai langkah untuk menangani isu-isu sosial yang sering dipandang ringan oleh masyarakat. Dengan aplikasi ini, bekas penghuni penjara tidak akan berjuang sendirian. "ReTrack berfungsi sebagai platform sokongan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan, membina jaringan sosial yang positif, serta reintegrasi mereka ke dalam masyarakat.
"Hal ini sangat penting dan strategik khususnya bagi sebuah negeri yang luas dari segi geografi seperti Sabah", katanya di Majlis Pelancaran “Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack”. Katanya, buku "Dari Penjara ke Masyarakat: Komitmen, Kolaborasi, dan Kesejahteraan" menjadi dokumentasi penting yang menghimpunkan pandangan pakar dari pelbagai sektor.
“Ini adalah bukti bahawa proses reintegrasi memerlukan usaha kolektif, yang melibatkan bukan sahaja individu tersebut tetapi juga keluarga mereka, masyarakat, dan institusi yang relevan. Melalui buku ini, kita harap dapat memperbaiki persepsi masyarakat terhadap bekas penghuni penjara dan memberi peluang kedua kepada mereka untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sabah", katanya.
Tambahan itu, Hajiji berkata, Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035 kini memfokuskan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan di daerah Tuaran. "Daerah Tuaran memiliki potensi besar dari segi keindahan semula jadi, budaya tempatan, dan hasil pertanian yang pelbagai. Pelan ini memastikan semua pihak berkepentingan iaitu daripada pengusaha kecil hingga pelabur besar.

Pelan ini juga akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat seperti Tuaran, dimana kekayaan alam adalah aset utama. Kita tidak boleh membiarkan pembangunan berlaku dengan mengorbankan warisan ini," katanya. Hajiji berkata, keempat-empat inisiatif itu akan membawa satu perubahan yang besar kepada daerah Tuaran, khususnya dalam aspek pembangunan daerah dan pembangunan ekonomi termasuk komuniti nelayan. "Inisiatif ini dirangka kerana kita tahu bahawa komuniti nelayan yang sering menjadi mangsa perubahan ekonomi global, seperti ketidakstabilan harga dan perubahan iklim.
Beliau berkata, "Gunakan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang telah dirancang. Pelancaran pada 3 Disember 2024 ini, hanyalah permulaan. Kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif-inisiatif ini mencapai matlamatnya.