Kerajaan Sabah Tidak Akan Tunduk Kepada Ancaman Politik
Berdasarkan kepada penyebaran klip video, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat Sabah. Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran beliau tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana-mana pihak. Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
Kini, kerajaan hanya mengeluarkan prospecting license yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral. Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan mining lease daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.>
Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik. Dengan itu, kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik negeri.
Beliau juga menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah yang sangat luas, hampir 1 juta ekar. Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan pemeliharaan. Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri. Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas.
Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.
Oleh itu, beliau ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran beliau berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran. Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera.