Peruntukan RM50 Juta Pembayaran Bil Elektrik dan RM127 Juta Biasiswa Pelajar
Kerajaan Sabah memperuntukkan RM50 juta untuk membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah membayar bil elektrik mereka mulai tahun 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan pada 4hb Disember 2024 sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu. “Inisiatif ini diambil bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang layak dan menghadapi kesusahan dalam membayar bil elektrik mereka.
“Selain itu, mulai 2025, bantuan sebanyak RM300 kepada ibu bapa miskin tegar akan diberikan, selama setahun,” katanya. Beliau berkata bantuan pendidikan akan sentiasa difokuskan untuk memastikan rakyat Sabah bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi. Ini kerana katanya, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.
“Antaranya, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan berjumlah RM127 juta, yang menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara serta membiayai pelajar tajaan yang sedia ada, pada 2025.
Selain itu, untuk tahun 2025, Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah memperuntukkan sejumlah RM57 juta untuk 4,500 orang pelajar.,” katanya. Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan seperti tajaan biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian, dan bantuan zakat bagi meringankan beban yang ditanggung ibu bapa.
Kini, tawaran tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut diberikan kepada seramai 100 pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu. “Kerajaan turut menyalurkan bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), dengan seramai 100 pelajar turut serta menerima bantuan ini. Setakat ini, saya dimaklumkan TPNS telah menyalurkan sejumlah RM8.5 juta dan memberi manfaat kepada seramai 8,000 pelajar.
Bantuan lain adalah seperti berikut; Bantuan BISBAH atau Bantuan Ihsan Sekolah Sabah bagi tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang melibatkan semua sekolah di Sabah, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), dan RM79.5 juta untuk bantuan-bantuan pendidikan secara one off termasuk bantuan agama dan bahasa sastera, untuk tahun 2025.
Satu lagi inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES) dengan kadar RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah,” katanya. Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Ugama Islam Sabah menerusi dana zakat turut menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan ke arah memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan khususnya di Sabah. “MUIS telah membelanjakan sejumlah RM32.5 juta pada tahun 2023 bagi menyantuni golongan asnaf dalam kalangan anak-anak sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi Inisiatif Pendidikan MUIS.
“Setakat bulan November 2024, terdapat peningkatan berjumlah RM4.9 juta daripada tahun sebelumnya dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM37.4 juta. Oleh itu, menerusi peruntukan Bajet MUIS 2025 sejumlah RM47.3 juta khusus untuk bidang pendidikan, diperuntukkan pada tahun 2025,” katanya.