Penggunaan Teknologi Untuk Dakwah dan Pendidikan
Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (atau United Sabah Islamic Association, USIA) harus memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (atau Information and Communication Technology, ICT) terutamanya dalam bidang dakwah dan pendidikan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau berkata, dakwah boleh disampaikan dengan lebih efektif dengan memanfaatkan penggunaan ICT.
“Oleh itu, dalam era teknologi masa kini, saya berharap USIA akan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu khususnya dalam siri dakwah mereka dengan pemerolehan ilmu serta maklumat secara pantas. “Kita perlu meneroka pelbagai disiplin ilmu seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat dimantapkan dan menjadikan kita lebih proaktif dan inovatif. “Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita untuk memberi kefahaman dalam menjayakan misi kita kepada golongan sasaran dengan lebih berkesan dan berkualiti,” katanya. Beliau berkata demikian pada 6 Disember 2024 sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Ke-38 bagi Tahun 2023, di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, kekuatan ahli di semua daerah di seluruh negeri Sabah menzahirkan betapa USIA bukan setakat sebuah badan bukan kerajaan (atau Non-Governmental Organisation, NGO) Islam tertua di Sabah malah sebagai pertubuhan terbesar dengan peranan utamanya untuk memperkasa dan mempelbagai aktiviti dakwah. Dengan pelaksanaan program dan aktiviti yang dijalankan oleh USIA, Hajiji berkata pelaksanaan program USIA mendapat sambutan sekali gus membuktikan USIA merupakan pertubuhan yang sentiasa aktif dan berjaya melaksanakan program yang berimpak tinggi.
“Ternyata USIA tidak pernah lari daripada matlamat dan falsafah perjuangan asalnya, malah ia terus diperkasakan menerusi insiatif baharu oleh kepemimpinan baharu, iaitu Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024. “Saya melihat teras dan objektif pelan strategik ini adalah selari dengan konsep kerajaan Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, apabila ia mengambil pendekatan baharu `Mengutamakan yang lebih utama' di mana ini juga menjadi pegangan kita dalam kerajaan negeri,” katanya.
Saya juga berharap agar USIA ini tidak terpengaruh dengan politik kerana ia bertentangan dengan asas penubuhan dan perjuangannya. “Kita mesti kekalkan USIA sebagai sebuah NGO Islam yang bebas politik, demi kebaikan dan masa depan ummah keseluruhannya. Saya yakin ahli USIA semua adalah kalangan bijak pandai dan akan menolak sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk mempolitikkan pertubuhan ini,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Ir Shahelmey Yahya, Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya.