Utamakan Pembangunan Infrastruktur Asas & Utiliti
Pembangunan infrastruktur asas dan utiliti merupakan aspek yang harus diutamakan dan memerlukan perhatian khusus di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Dengan itu,beliau ingin kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Pembangunan infrastruktur asas dan utiliti di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap, terutamanya di kawasan luar bandar, adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, selain dapat merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi dan pelaburan. Ini penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk peningkatan sosioekonomi yang mampan di Sabah”, katanya pada Sesi Libat Urus RMK-13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di The Pacific Sutera Hotel."
Hajiji berkata, jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah merupakan cabaran yang perlu diatasi secara kolektif. “Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan yang seimbang adalah kunci kepada kesejahteraan masyarakat. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.
Tambahan itu, Hajiji berkata Sabah merupakan penyumbang keenam kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM83.2 billion atau 5.3 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada tahun 2023. Dengan potensi ekonomi yang luas dan sumber tersedia, Sabah mempunyai kapasiti untuk meningkatkan prestasi ekonomi negeri dan mampu memberikan sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK nasional.
Langkah pertama adalah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan sektor perniagaan dan pelaburan serta melaksanakan aktiviti ekonomi berimpak tinggi seperti industri-industri utama, iatu biojisim, kelapa sawit serta minyak dan gas. Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah berpotensi untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya”, tegasnya.
Dalam konteks penyediaan inisiatif dan projek pembangunan di bawah RMK-13, beliau berharap agar kerjasama kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah dapat dilibatkan secara lebih proaktif, bermula seawal fasa perancangan projek.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr. Shahelmey Yahya.