Peruntukan RM50.9 Juta Subsidi Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) di Sabah

berita-sabahDec 2024news

Kerajaan Sabah telah bersetuju untuk meneruskan pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tempoh 1 Januari 2025 sehingga 30 Jun 2025 dengan memperuntukkan sebanyak RM50.9 juta, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Pengecualian itu adalah bagi pengguna domestik dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kWj dan ke bawah (atau bil elektrik bulanan sekitar RM677); dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah (Kategori CM1 dan ID1) yang terdiri juga dari golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Selain itu, “Kerajaan negeri juga telah memohon bantuan subsidi bahan api sejumlah RM278 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan ini, memandangkan peningkatan kos penjanaan tenaga akibat kenaikan kos bahan api yang terkesan oleh impak global,” katanya.

Keputusan ini dibuat semasa Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet yang dipengerusikan Ketua Menteri pada awal bulan ini. Bantuan subsidi kepada Sabah Electricity dan pemegang-pemegang Lesen Awam akan memanfaatkan 693,834 pengguna atau 99 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna elektrik di Sabah. Bagi pengguna kategori lain (Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500kWj dan Pengguna bukan domestik voltan sederhana atau pengguna-pengguna besar serta lampu jalan awam), kadar surcaj yang dikenakan adalah kekal pada 4.06 sen/kWj.