Kepimpinan TYT Membantu Sabah
Jasa dan bakti serta legasi Tun Musa bin Haji Aman pada masa lalu sebagai mantan Ketua Menteri dengan pelbagai kemajuan dan pembangunan, sudah pasti akan membantu membangunkan lagi Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah bertepatan dan sesuai dengan pengalaman yang luas dan khidmat bakti kepada negeri Sabah 15 tahun memimpin Sabah di bawah kerajaan negeri yang terdahulu. Kecemerlangan kepimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa bin Haji Aman sebagai Ketua Menteri sebelum ini, boleh dijadikan panduan dalam mentadbir dan membangunkan Sabah.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Jamuan Negeri pada 1 Januari 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. “Berpaksikan kepada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bermatlamat untuk membangunkan negeri Sabah secara holistik dan inklusif, objektif ini akan mudah dicapai dengan berkat bimbingan serta panduan yang bakal diberikan oleh Tuan Yang Terutama sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, termasuk dalam dunia korporat,” katanya. “Bersama-samalah kita berganding bahu, berusaha dan bekerja keras ke arah cemerlang dan gemilang; mudah-mudahan negeri Sabah yang tercinta terus maju dan berjaya, aman dan sentosa.”




