Pemergian Allahyarham Mohamad Hamsan Kehilangan Kepada Negeri

berita-sabahJan 2025news

Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan Haji Awang Supain, 65 tahun, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri / Ahli Dewan Undangan Negeri, Sungai Sibuga, meninggal dunia pada malam 19 Januari 2025. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Datin Hajah Kalsom Haji Abd Aziz dan keluarga atas pemergian Allahyarham Datuk Haji Mohamad Hamsan.

“Allahyarham merupakan seorang rakan lama yang bersama-sama berjuang dalam pentadbiran Kerajaan,” Hajiji berkata. “Beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai. Perjuangan dan sokongan beliau bersama kerajaan negeri amat dihargai. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama rohorang-orang beriman dan beramal soleh.”

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada negeri, terutama rakyat di kawasan yang diwakilinya iaitu, Sungai Sibuga. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 2020, Mohamad Hamsan yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga menewaskan empat calon lain dengan majoriti 1,538 undi.