Berpolitik Sopan dan Jangan Menghina : Hajiji Kepada Pembangkang
Sikap pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang menghina kepada pemimpin dan rakyat Sabah sangat di kesali. Ucapan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai 'palui' ketika berucap dalam satu program PN di Sepanggar, baru-baru ini, sangat meyakitkan hati rakyat Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menempelak sikap Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan pemimpin pembangkang dari Semenanjung. Hajiji berkata pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang tidak berpegang kepada amalan berpolitik secara sopan dan mementingkan keharmonian tidak wajar datang ke Sabah kerana budaya berpolitik di Semenanjung yang dibawa mereka tidak sesuai dengan budaya politik yang diamalkan di Sabah. "Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi, tapi budaya orang Sabah lain dengan Semenanjung. Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah," katanya pada 23 Januari 2025, ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau. Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi membina sebuah Mini Konvensyen Centre di Keningau untuk kemudahan rakyat di daerah dan kawasan pedalaman.

Dengan itu, Hajiji menggesa rakyat berbilang etnik, kepercayaan dan keturunan di negeri ini supaya bersatu hati menjaga keharmonian dan menyokong GRS yang menggabungkan lapan parti tempatan demi kebaikan Sabah "Kerana itulah saya ingin merayu kepada rakyat kita yang berbilang kaum dan kepercayaan ini, marilah kita bersatu hati dan sokonglah GRS yang terdiri daripada parti tempatan kita," katanya. "Apa yang penting kita bersatu hati, walaupun berlainan pandangan, kita raikan, kita hormati.
Kini, GRS mempunyai rekod pentadbiran yang baik berdasarkan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang lebih empat tahun memerintah dan wajar diberi mandat semula bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancang menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030. "Dalam kita berpolitik kita mesti ada strategi. Kita kena baik juga dengan Persekutuan. Kita dalam negara Malaysia, negeri mesti kerjasama dengan persekutuan.