Usaha Memelihara Warisan Budaya dan Pengurusan Alam Sekitar

berita-sabahJan 2025news

Usaha berterusan oleh Kerajaan untuk menambah baik pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program serta projek pembangunan pada tahun 2025.

Beliau berkata, industri pelancongan negeri ini memerlukan lebih banyak produk baharu yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan Sabah mempunyai pelbagai sumber pelancongan yang boleh dipelbagaikan sama ada berasaskan flora dan fauna mahu pun khazanah budaya serta warisan etnik Sabah. Sejajar dengan harapan itu, beliau mengajak pemain industri pelancongan di negeri ini meneroka idea-idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik, sekali gus memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

“Usaha kita untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk pelancongan juga selari dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelancong. “Walaupun Sabah menyasarkan seramai 3.7 juta pelancong, oleh itu persediaan untuk TMM 2026, kita mesti bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke Sabah. Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk baharu pelancongan negeri ini”, katanya pada 25 Januari 2025, pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, Papar.

Beliau yakin Kompleks Kebudayaan Sabah yang melibatkan pembinaan 2 komponen utama, iaitu Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman yang unik, inovatif dan berbeza daripada pelancongan sedia ada. Katanya, kompleks ini juga akan menjadi tambahan kepada pusat kebudayaan sedia ada di negeri ini iaitu Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, dan Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan cermat, mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan. Manfaat daripada kejayaan projek ini bukan saja dinikmati oleh generasi masa kini, malah pada masa akan datang”, tegasnya. “Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya.”