Dasar & Program Kerajaan Bantu Kemakmuran Rakyat
Perancangan dasar dan program kerajaan haruslah berorientasikan kemakmuran rakyat bagi memastikan semua peringkat rakyat mendapat manfaat daripada setiap pembangunan yang dilaksanakan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Seiring dengan usaha itu katanya, kerajaan negeri terus memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, untuk semua peringkat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurutnya, selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ yang telah dilancarkan pada tahun 2022. Setakat bulan Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah Rumah SMJ telah dibina. “Untuk tahun 2025 sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100 peratus peruntukan bagi pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah”, katanya pada 26hb Januari 2025, di Majlis Pelancaran Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) di tapak projek, 360 Boulevard Bundusan, Kota Kinabalu.
Pembangunan hartanah merupakan pemacu utama untuk peningkatan ekonomi. Hajiji berkata, SRRS adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di Sabah memiliki rumah sendiri, disebabkan peningkatan kos sara hidup, rakyat berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu. Pelancaran skim perumahan yang inovatif ini akan mengubah landskap pemilikan rumah di Sabah. Skim ini akan memberi manfaat kepada 10,000 orang yang layak di Sabah untuk membeli rumah pertama mereka di lokasi bandar utama, dengan harga jualan tidak lebih dari RM500,000 serta syarat kemasukan yang mudah.
“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kewangan dan Sabah Credit Corporation selaku penyedia tunggal pembiayaan utama skin ini, akan bekerjasama rapat dengan CFS Usaha Tegas untuk membangun dan memperhalusi rangka kerja skim perumahan ini”, katanya. Hajiji menggesa rakyat Sabah yang layak agar tidak lepaskan peluang istimewa yang ditawarkan oleh skim ini. Dengan syarat kemasukan yang mudah, dan manfaat seperti kadar faedah yang lebih rendah dan tetap, tempoh pembayaran balik pinjaman yang lebih panjang, pinjaman 100% penuh dan pelan pembayaran balik khas. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pemaju tempatan yang telah menyertai skim ini, terutamanya Borneo Kemuncak Riang yang menawarkan Boulevard 360 Bundusan sebagai rumah pertama SRRS. “Saya berharap dengan pelancaran skim ini, kita akan mencipta lebih banyak kerjasama antara kerajaan negeri dan pemaju-pemaju untuk memenuhi keperluan semua peringkat pendapatan di Sabah", katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Haji Aliasnih.