Pos Malaysia Ke Arah Transformasi Perkhidmatan Moden
Pos Malaysia bermula transformasi perkhidmatan dalam era digital dengan pelancaran Pos Shop Pertama di Malaysia Timur di Kota Kinabalu pada 7 Februari 2025. Pos Shop menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk pelanggan di rangkaian pejabat pos sedia ada yang berjumlah lebih 600 pejabat pos di seluruh Malaysia, termasuk sebanyak 40 pejabat pos di Sabah. Selain dari pembayaran bil, pembaharuan insurans dan cukai jalan, penghantaran barang, pelaburan, pembelian setem dan banyak lagi, Pejabat Pos kini menawarkan makanan dan minuman mengikut peredaran zaman dan kehendak pelanggan.
Pos Shop menyediakan perkhidmatan dalam tiga kategori produk yang dibekalkan iaitu Kategori Makanan Sedia Dimakan (“Ready-to-Eat”), Kategori Makanan dan Minum (Food & Beverage atau F&B) dan Kategori Bukan Makanan. Konsep inovatif “Shop In Shop” mengintegrasikan Pejabat Pos dalam suasana yang lebih moden dan mesra pelanggan. Konsep ini membolehkan Pejabat Pos berfungsi sebagai pusat sehenti untuk komuniti setempat dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan yang meliputi kemudahan membeli-belah untuk keperluan harian dalam suasana yang lebih selesa dan menyenangkan.
Dalam ucapannya pada 7 Februari 2025 di Majlis Pelancaran Pos Shop Pertama di Malaysia Timur di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia bukan sahaja memudahkan urusan seharian rakyat, malah membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan kecil dan sederhana di Sabah. Dengan itu, Hajiji berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain di Sabah. Katanya, dengan pembukaan kedai serbaneka Pos Shop di Kota Kinabalu akan membantu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.
Setakat Disember 2024, lebih daripada 80 usahawan kecil dan sederhana tempatan di seluruh Malaysia telah menerima manfaat daripada cawangan Pos Shop. Dalam misi untuk mengurangkan jejak karbon dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero Carbon Emission) menjelang 2050, Pos Malaysia kini dalam proses untuk menggantikan kenderaan sedia ada kepada kenderaan 100% elektrik menjelang 2030 dan ianya akan memperkenalkan 15 motosikal elektrik di Sabah pada Februari 2025.
Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, menyampaikan teks ucapan Ketua Menteri.