Meningkatkan Pengajian Al-Quran di Sabah

berita-sabahFeb 2025news
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya dan Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya sempena Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah, Nashraf Ideen Nahar di Kota Kinabalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata fokus utama adalah meningkatkan pengajian AlQuran di Sabah. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar Institut Tahfiz Negeri sehingga 300 orang pelajar untuk masa akan datang. “Langkah ini bukan sekadar melahirkan lebih ramai hufaz, malah membina generasi pencinta al-Quran sebagai pejuang tamadun bangsa berlandaskan prinsip-prinsip ajaran al-Quran."

“Untuk mencapai inisiatif tersebut, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif. “Ini termasuklah memperbaiki sekolah-sekolah yang serba daif, dan juga membina sekolah-sekolah baharu di kawasan yang strategik, bagi menampung keperluan semasa, sesuai dengan bilangan murid yang semakin meningkat tahun ke tahun,” katanya pada 16 Februari 2025 di Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1446H/2025M di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah. Hajiji berkata kerajaan juga akan terus focus dalam menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di Sabah, sejajar dengan dasar kerajaan seperti mana yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, “Bagi menyokong usaha itu, kerajaan telah menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada hanya RM51 juta kepada RM128 juta pada tahun 2025.

“Dengan pertambahan yang berlipat kali ganda itu, beliau berharap lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang menerima bantuan kemudahan pendidikan, terutama mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada di dalam atau luar negara . “Ini termasuk jugalah pengajian dalam bidang agama atau pun pengajian Islam,” katanya.