GRS Sasar Tawan Semua Kerusi DUN di Tawau dan Kalabakan
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk menawan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tawau dan Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan GRS akan memastikan bahawa tiada kawasan DUN yang tercicir daripada pembelaan wakil rakyatnya. GRS sudah membawa pencapaian sepanjang empat tahun memerintah Sabah berbanding kerajaan sebelum ini.

“Dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil Kerajaan,” kata Hajiji. “Kita mesti menang di Merotai, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju. “Isu air kami bagi jaminan dapat selesaikan pada tahun 2025 dengan peruntukan yang ada, dan loji air yang akan dinaik taraf dan dibaiki. Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki. Pembangkang tiada buat apa-apa, kita sudah beri peluang kepada mereka, tapi apa mereka buat? Mereka umpama tin kosong, memang besar bunyinya kalau diketuk. Tapi kita empat tahun memerintah sudah banyak kita capai.” Hajiji turut mengumumkan beberapa projek iatu:
- permohonan Tanah Perkampungan Iban, Merotai Besar dan Kampung Melati Burut untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.
- kelulusan pemasangan Lampu Solar Jalan Raya Besar dari Jambatan Putih hingga ke Sungai Udin, Merotai, dengan peruntukan RM1.9 juta yang akan dipasang pada April 2025.
- pembukaan Pekan Baharu Merotai di Kijang Point yang menempatkan 100 unit rumah dua tingkat dan 16 unit kedai yang sudah siap dibina oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta Perkasa Reality.
- pembinaan dewan untuk Merotai dengan peruntukan RM2 juta.