Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Bantu Rakyat Sabah
Inisiatif baharu dilaksanakan untuk membantu rakyat Sabah melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.“Sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini. Program ini dijangka akan diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.
“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif yang boleh membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar. Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya semasa Pelancaran SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah.
“Tujuan Program SYUKUR adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga dengan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima. Tambahan itu, Fasa Kedua program ini akan dilaksanakan pada Mei 2025, termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih serta golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini.

Dengan itu, Hajiji berharap dengan pelaksanaan program ini, kehidupan mereka yang terjejas dapat dipertingkatkan serta mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan inklusif. “Saya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Saya berharap agar SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif yang menjadi satu gerakan berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. Amaun pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara “lump-sum” bagi tempoh tiga (3) bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Berikut merupakan tempoh agihan pembayaran:
- fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari;
- fasa kedua (April sehingga Jun 2025), diagihkan bermula April
- fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025;
- fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.
Semakan penerima dan pembayaran boleh dilakukan melalui Laman web Sistem PADANS https://padans.sabah.gov.my/; Laman web http://sukur.sabah.gov.my/; YONO Superapp; dan Notifikasi pembayaran (SMS). Semakan penerima SYUKUR boleh mula di akses pada 19 Februari 2025.