Pelajar Sabah Menerima Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah

berita-sabahMarch 2025news
Datuk Dr.Haji Mohd.Arifin Datuk Haji Mohd.Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, menyampaikan ucapan Ketua Menteri.

Seramai 13,550 orang pelajar Sabah menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak 2021 hingga 2024, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Dalam usaha meningkatkan pendidikan kepada anak-anak Sabah, Kerajaan Negeri terus menambah dana untuk BKNS dengan jumlah tertinggi iaitu RM128 juta pada 2025. “Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada bulan Oktober 2020, peruntukan untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada tahun 2020, meningkat kepada RM55 juta pada 2021, seterusnya RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada tahun 2024”, katanya pada 20 Mac 2025 di Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di KLCC Convention Centre, Kuala Lumpur.

Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarnya pada tahun 2022 telah memberi manfaat kepada seramai 7,483 orang pelajar daripada golongan B40 yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta. Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI),Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY). Ketua Menteri - yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) - berkata, Kumpulan YS secara berterusan menawarkan pelbagai jenis tajaan membantu pelajar Sabah seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar.

Tambahan itu, “Komitmen Kumpulan YS terhadap pembangunan pendidikan di Sabah dapat dilihat apabila dana untuk pendidikan meningkat sebanyak 86.38% kepada RM67.17 juta pada tahun 2024 berbanding RM36.04 juta pada tahun 2021. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan YS juga menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) yang memberi manfaat peluang pengajian pendidikan kepada ribuan anak Sabah sejak ditubuhkan.

“Kerajaan Sabah juga telah menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan pandangan, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang sehingga kini berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin pelajar Sabah dari seluruh IPT Awam dan Swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Latihan termasuk tingkatan enam. Penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) merupakan pengiktirafan kepada anak-anak muda.