UPPM Memainkan Peranan Penting Bantu Kerajaan

berita-sabahMarch 2025news
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan bantuan sumbangan kepada anak yatim, asnaf, warga emas dan ibu tunggal selain wang ihsan kepada mangsa banjir sempena Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), di Keningau.

Pemimpin masyarakat, khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), berperan penting dalam menjelaskan inisiatif kerajaan kepada rakyat. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meminta pemimpin UPPM untuk bekerjasama dengan wakil rakyat dan pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan masing-masing. UPPM diingatkan untuk terus membantu wakil rakyat dan ketua bahagian dalam GRS serta memastikan rakyat mengetahui apa yang telah dilaksanakan kerajaan dalam empat tahun terakhir.

“Oleh itu, amat penting untuk UPPM menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan dan bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun. Saya menegaskan perkara ini kerana seperti mana yang kita sedia maklum bahawa tahun ini adalah tahun pilihan raya, justeru kita kena bersatu hati agar GRS diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada 20 Mac 2025 ketika Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation Berhad kali kedua tahun 2025 di Kompleks Sukan Keningau.

Hajiji turut meminta kepada semua ahli parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah supaya memberi sokongan yang padu kepada pemimpin-pemimpin GRS terutama kepada mereka yang diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. “Saya tidak mahu ada yang sabotaj atau tidak memberi kerjasama. Jika saya dapat tahu ada ahli terutama dari GRS yang tidak memberi sokongan kepada calon-calon GRS, kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya. “Saya mahu GRS terus kuat dan kita terus bersatu hati dan memantapkan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS,” katanya

Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang kerap digunakan sebagai modal oleh pembangkang di Sabah. “Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk cakap kita sebagai kerajaan gagal. Mereka pun tahu bahawa masalah ini kita warisi sejak dari dulu. “Namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini. Tapi inilah pembangkang, mereka tiada modal lagi,” katanya.