GRS-PH Prihatin Terhadap Rakyat Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan Kerajaan GRS-PH sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat dan sentiasa membantu mereka yang susah atau miskin. Katanya, walaupun kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha memajukan negeri dan membangunkan ekonomi, ia tidak sekali-kali meminggirkan usaha membantu rakyat yang memerlukan pembelaan. "Sebagaimana biasanya dalam bulan Ramadan, apapun yang kita lakukan bagi mengimarahkan bulan ini, kita tidak boleh lupa mereka yang kurang mampu.
"Dalam kerajaan, kita mempunyai satu dasar atau polisi di mana kerajaan ini, saya anggap sebagai kerajaan rakyat, kerajaan yang peduli masalah rakyat. Selain tumpuan kita untuk membina atau membangunkan ekonomi kita dengan pelbagai cara, rakyat miskin atau yang susah ini perlu dibantu," katanya pada 27hb Mac 2025, ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sipitang.
"Dengan itu, kerajaan telah membantu rakyat termasuk bantuan kewangan RM300 sebulan selama setahun kepada rakyat miskin tegar pada tahun 2025, Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam negeri sebanyak RM500 untuk sambutan Aidilfitri bulan Mac/April 2025 dan RM500 lagi sempena Kaamatan pada Mei 2025."
Sementara itu, Hajiji berkata kedudukan Sipitang yang bersempadan dengan Sarawak, selain dekat dengan Brunei dan Kalimantan, Indonesia memberi kelebihan kepada daerah Sipotang. Kedudukan strategik itu, katanya antara yang mendorong pelabur datang ke daerah ini untuk melabur dalam industri minyak dan gas, khususnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP). Hasilnya, katanya taman industri itu sudah penuh dan sekarang pihak berkuasa di SOGIP memohon kawasan baharu untuk mengembangkan industri minyak dan gas di daerah itu.
