Ketidakwajaran Warisan Dalam Mempolitikkan Sambutan Ulang Tahun Rasmi TYT

berita-sabahMarch 2025news

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegur Parti tindakan Parti Warisan kerana membawa isu institusi Istana Negeri ke dalam permainan politik. Beliau berkata pada 28hb Mac 2025, bahawa kenyataan oleh pemimpin Warisan, Datuk Darell Leiking dan Datuk Azis Jamman, di media sosial yang mempersoalkan sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Hari Jadi Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman berniat tidak baik.

"Selaku Ketua Menteri, saya bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan institusi Istana tanpa mengira siapa yang memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri. "Jelas sekali pertimbangan mereka (Darell dan Azis) telah dikaburi oleh politik sehingga gagal membezakan peranan asas antara kerajaan, politik, dan institusi Istana. "Institusi Istana adalah bebas daripada politik dan tidak sepatutnya diheret ke dalam politik jalanan yang penuh dengan pembohongan dan penipuan," tegas beliau.

Hajiji menjelaskan bahawa pada awalnya, Tun Musa mencadangkan agar tiada sambutan rasmi diadakan tahun ini memandangkan tarikh Ulang Tahun Rasmi TYT yang diwartakan jatuh pada 30 Mac yang bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Malah Tun Musa tidak mahu membebankan pihak penganjur disebabkan kesuntukan masa dan kos yang tidak perlu. "Namun sebagai Ketua Menteri, saya berpendapat bahawa sebarang keputusan perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri," katanya.

Selepas pertimbangan yang teliti, Kabinet bersetuju bahawa sambutan rasmi perlu diadakan tahun ini selaras dengan konvensyen dan tradisi Istana. "Oleh itu, diputuskan bahawa sambutan akan diadakan pada bulan Jun secara sederhana mengikut kehendak dan nasihat Tun Musa. "Sebagai langkah strategik, jumlah acara dikurangkan daripada 12 pada tahun 2024 kepada 7 tahun ini, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sebanyak kira-kira 30 peratus," jelas beliau. Hajiji turut menegaskan bahawa Darell dan Azis pernah berada dalam kerajaan sebelum ini dan seharusnya memahami proses serta persiapan yang diperlukan bagi sambutan Ulang Tahun Rasmi TYT.