Sabah Buka Pintu Luas Kepada Pelaburan Global
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengalu-alukan lebih ramai pelabur ke Sabah termasuk dari Amerika Syarikat untuk melabur dalam perdagangan, pendidikan dan kebudayaan. Beliau turut menyebut ConocoPhillips, sebuah syarikat minyak dan gas dari Amerika Syarikat, yang berjaya merealisasikan pelaburannya di Malaysia, termasuk di Sabah.
“Sabah akan terus memudah cara persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah,” katanya pada 15hb April 2025 ketika bertemu dengan Edgard D. Kagan, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, di Bangunan Dewan Undangan Negeri, Kota Kinabalu. Dalam kunjungan hormat tersebut, Kagan turut memaklumkan kepada Hajiji mengenai cadangan kerjasama antara Zoo Oregon dan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi tujuan pertukaran pengetahuan serta pembinaan kapasiti.