Usaha Bendung Permintaan dan Penawaran Dadah Haram di Sabah
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa usaha bersepadu perlu diambil untuk mengurangkan jumlah penagih dan pengguna dadah di negeri itu dengan membendung permintaan serta penawaran dadah haram. Sabah mencatatkan peningkatan 7.5% kes pada 2024 dengan 9,207 individu terlibat, berbanding 8,567 pada 2023, namun jumlah ini hanya mewakili 4.8% statistik nasional.

Menurut Hajiji, kadar penagihan di Sabah ialah 246 bagi setiap 100,000 penduduk, masih dalam had sasaran nasional iaitu di bawah 400. Beliau menyifatkan peningkatan ini sebagai cabaran besar yang memerlukan tindakan segera.
Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri (MTMD) pada 21 April 2025, Hajiji menyatakan tumpuan tahun ini ialah menghijaukan dua kawasan berisiko tinggi, iaitu Penampang dan Balung, dengan pelantikan Presiden Majlis Perbandaran masing-masing sebagai penyelaras.
Beliau juga menekankan keperluan mengekalkan status “hijau” di tujuh kawasan lain serta menggesa semua pihak untuk bekerjasama dan menyumbang idea dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025, sambil menegaskan bahawa dadah masih merupakan musuh utama negara.
