Projek FOLUR Perkukuh Kedudukan di Peringkat Antarabangsa

April 2025berita-sabahnews

Pelaksanaan Program Kesan-Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi (Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR)) telah meletakkan Sabah di peta dunia bersama 27 negara lain di bawah Program FOLUR global melalui kerjasama dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Projek FOLUR melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi keluasan kira-kira 2.38 juta hektar, iaitu 12 daerah di Sabah, dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 54,000 orang penduduk kawasan luar bandar khususnya menyeimbangkan keperluan pembangunan pertanian dengan pemuliharaan alam sekitar serta sedang melangkah ke arah sistem makanan yang lebih mampan, cekap dan inklusif.

Projek ini menyokong amalan pertanian lestari, dalam sektor kelapa sawit, serta memulihara kawasan hutan yang telah terjejas. Ini membolehkan kita mengurangkan tekanan terhadap ekosistem hutan dan pada masa sama menjamin bekalan makanan dan sumber pendapatan rakyat Sabah”, katanya pada 24hb April 2025 di Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah di perkarangan Fakulti Perhutanan Tropika Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

Tambahan itu, FOLUR akan terhadap perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal (SDG)) khususnya SDG 15: “Life on Land”. Menurutnya, Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan (Statewide Forest Master Plan) yang akan menyediakan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan hutan di seluruh Sabah. Beliau berkata melalui pelan ini, semua Kawasan Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive Area) tetap akan dilindungi, disamping meneruskan pembangunan sosio-ekonomi yang mensejahterakan rakyat Sabah. Ini selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah MajuJaya (SMJ 1.0: 2021-2025 ) yang mengambil kira keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau.

Sabah juga sedang dalam proses memuktamadkan Dasar Perubahan Iklim Negeri yang berkonsepkan tadbir urus yang baik, peralihan saksama, berdaya tahan dan peningkatan ekonomi selari dengan Dasar Perubahan Iklim Malaysia 2.0. “Selaras dengan pembangunan dasar ini, Sabah akan menggubal Enakmen Perubahan Iklim agar selari dengan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), yang kini sedang dimuktamadkan di peringkat nasional”, tegasnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoon Jin Zhe.