Jentera Peneragan Gagasan Rakyat Diuji Tiga Cabaran Kritikal
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa jentera penerangan perlu memperhebat usaha memerangi pembohongan dan fitnah pembangkang, menguasai dunia maya, serta meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau menekankan bahawa jentera penerangan mempunyai peranan kritikal dalam memastikan kejayaan kerajaan GRS-PH Plus dikongsi luas kepada rakyat, khususnya pencapaian dalam pembangunan sosioekonomi dan inisiatif kebajikan seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) dan projek perumahan mesra rakyat.
"Tugas kita bukan sahaja melawan fitnah, tetapi juga menguasai dunia digital untuk menyalurkan maklumat tepat tentang pencapaian kerajaan," tegas Hajiji ketika merasmikan Bengkel Penerangan & Pelancaran Jentera Penerangan 'Gasak 17' pada 26 April 2025 di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajausama, Tuaran.
Beliau turut mengingatkan bahawa jentera parti perlu berkerja secara bersepadu dan menolak sebarang unsur sabotaj, menekankan pentingnya kestabilan politik demi kesinambungan pembangunan negeri.
Katanya, walaupun rakyat semakin bijak menilai, jentera penerangan tetap berperanan penting untuk terus mendekati akar umbi dan memperjelaskan usaha kerajaan yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.“GRS dan Gagasan Rakyat diterima kerana kita membela semua lapisan rakyat. Amanah ini perlu terus dipertahankan,” ujarnya sambil menyeru semua ahli parti untuk kekal bersatu menghadapi cabaran politik mendatang.