Peruntukan RM13.66 Juta Untuk Pelestarian Warisan Budaya Sabah
Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini bagi usaha melestarikan warisan budaya dan seni negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Menurut beliau, peruntukan itu bertujuan memastikan warisan budaya seperti pakaian tradisional etnik Sabah terus diwarisi generasi kini dan dipelihara untuk masa depan.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Para peserta Unduk Ngadau perlu mengambil peluang menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi suku kaum Kadazandusun,” katanya ketika berucap pada 26 April 2025 di majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Nexus Resort and Spa Karambunai.
Beliau menegaskan, acara Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan fesyen etnik, sebaliknya merupakan platform penting memartabatkan seni budaya masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).Hajiji menekankan bahawa pakaian tradisional bukan sahaja kaya dengan estetika dan simbolisme, tetapi juga membawa nilai sejarah serta melambangkan identiti dan kedudukan sosial sesuatu kaum. “Sebagai contoh, daerah Tuaran terkenal dengan seni sulaman Linangkit, di mana setiap motif dan warna mempunyai makna tersendiri. Kita mesti menghargai dan mengetengahkan seni ini kepada generasi muda dan masyarakat umum,” ujarnya.
Ketua Menteri turut menyatakan bahawa aktiviti budaya seperti ini mempunyai potensi besar dalam merancakkan ekonomi kreatif, khususnya di kalangan pereka busana etnik Sabah, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan budaya.
“Keunikan busana etnik Kadazandusun bukan sahaja berpotensi menarik perhatian pelancong domestik, malah berupaya dipromosikan ke peringkat antarabangsa,” katanya. Beliau juga menekankan bahawa tema Pesta Kaamatan 2025, iaitu "Kaamatan Untuk Semua", membawa mesej penting tentang semangat perpaduan, bahawa sambutan ini adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.